Kawasan Pelancongan

Zainiaga Homestay terletak di kawasan yang strategik untuk pelancongan. Terdapat pelbagai kawasan pelancongan berhampiran Bandar Baru Batang Kali ini yang boleh anda lawati. Selain melancong di Selangor anda juga boleh melancong ke Pahang kerana bandar Utama batang Kali terletak di sempadan Negeri Pahang. Antara tempat yang pelancongan tersebut adalah seperti di bawah.

Genting Highlands adalah tempat pelancongan yang terkenal yang terletak di Negeri Pahang. Jarak perjalanan ke skyway Genting Highlands dari homestay kami hanya 18.8 km iaitu mengambil masa 23 minit sahaja. Dari Skyway Genting Highlands anda boleh menaiki gondola menuju ke puncak. Jarak perjalanan ke puncak Genting Highlands dengan menaiki gondola mengambil masa 11 minit dengan jarak 3.38km. Mulai 1 November 2011, waktu operasi Genting  Skyway bermula dari 7.30 pagi sehingga 12.00 malam setiap hari. Bagi yang suka hiburan sambil menikmati udara sejuk dan nyaman tempat ini perlu dikunjungi.  Disini terdapat pelbagai taman permainan dan pusat hiburan. Tempat ini sesuai untuk pelancongan seisi keluarga.

Dalam perjalanan anda ke Genting Highlands anda boleh singgah di kawasan rekreasi Sg. Kedondong. Tempat ini terletak antara Batang Kali ke Gohtong Jaya. Kawasan ini sesuai untuk berkelah sambil menikmati suasana hutan yang tenang. Terdapat sungai dan air terjun untuk mandi manda.  Kawasan Rekreasi Sg. Kedondong ini terletak 11.2 km dari homestay kami.



Bagi yang suka suasana hutan sambil beriadah anda boleh mengunjungi Hutan Lipur Sg. Sendat. Disini terdapat 3 tingkat air terjun. Anda boleh mandi manda sambil menikmati udara segar dan berjalan di hutan rimba sambil mendengar kicauan burung dan melihat flora & fauna. Jarak homestay kami dari Hutan Lipur Sg. Sendat lebih kurang 10.5 km, mengambil masa 17 minit sahaja. Untuk kesini anda perlu menuju ke Ulu Yam. Air terjun ini terletak 4.6 km dari Ulu Yam.  Anda dinasihati berhati-hati disini, sila patuhi arahan papan tanda yang disediakan disana kerana air terjun Sg Sendat ini mempunyai kolam yang dalam.


Bagi yang meminati pelancongan berasaskan alam semulajadi jangan lupa mengunjungi Air terjun Sg. Chiling. Air terjun ini adalah antara air terjun yang cantik di Negeri Selangor. Sg Chiling ini merupakan kawasan santuari ikan kelah. Disini anda boleh mandi manda sambil berenang melihat habitat ikan kelah.  Jarak perjalanan dari homestay kami ke air terjun Sg. Chiling ini lebih kurang 26.8 km. Untuk menuju tempat ini, anda perlu melalui jalan Kuala Kubu Baru ke Fraser Hill. Dalam perjalanan ke tempat ini anda akan melalui empangan Sg. Selangor. Untuk sampai ke air terjun ini anda perlu berjalan kaki dari jalan utama anggaran 3 km merintasi denai dan sungai seperti yang ditunjukan dalam peta di atas. Kawasan pelancongan disini hanya dibuka pada hari Jumaat hingga hari Ahad sahaja bermula jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Bayaran masuk RM1.00 seorang.

Dalam perjalanan anda ke Air terjun Sg. Chiling anda boleh melawat empangan Sg. Selangor. Empangan  ini mempunyai panorama yang indah. Dikelilingi oleh bukit bukau menghijau, jauh dari kesibukan kota, suasana disini sungguh mendamaikan. Bagi anda yang ingin mengetahui sejarah pembinaan empangan Sg. Selangor ini anda boleh melawat ruang pamiran disitu. Jarak empangan Sg. Selangor dari homestay kami anggaran 20 km, mengambil masa lebih kurang 28 minit untuk sampai ke sini.


Kepada anda yang meminati pelancongan pergunungan jangan lupa mengunjungi Bukit Fraser di Pahang. Ia merupakan kawasan pelancongan pergunungan yang menarik kerana suhunya sejuk 17~24 Celcius. Bukit Fraser mendapat nama dari seorang pengembara British pada zaman kolonial iaitu Louis James Fraser . Banyak bangunan dan banglo cantik dibina mengikut cita rasa kolonial British. Pusat peranginan ini dianggap sebagai tempat terunggul untuk aktiviti memerhati burung dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa. Untuk ke bukit Fraser dari homestay kami anda boleh menggunakan jalan ke kuala kubu Bharu. Jarak perjalanan ke Bukit Fraser dari homestay kami hanya 53.4 km dengan mengambil masa perjalanan 1 jam 11 minit.

Taman Negeri Selangor yang juga dikenali sebagai hutan lipur Sg. Tua merupakan hutan simpan dan rekreasi yang mempunyai sungai dan air terjun yang menarik. Sesuai untuk berkelah dan mandi manda. Bagi yang meminati pelancongan berasaskan alam semulajadi tempat ini wajar dikunjungi. Untuk ke taman ini dari Batang Kali, anda boleh melalui jalan Ulu Yam. Perjalanan ke taman ini hanya mengambil masa  22 minit dari homestay kami dengan jarak perjalanan 20.9km.


Untuk anda yang suka berendam dalam air panas sambil berehat melepaskan keletihan bekerja seharian, anda boleh mengunjungi Kolam Air Panas Hulu Tamu. Jarak tempat ini dari homestay kami lebih kurang 6.2 km, mengambil masa 12 minit perjalanan.

Untuk anda yang mempunyai anak-anak, jangan lepaskan peluang untuk melawat Zoo Negara. Zoo ini dibuka dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.  Selepas melawat Zoo Negara anda boleh terus ke pusat bandaraya Kuala Lumpur untuk membeli belah, atau jalan-jalan sambil menikmati pemandangan Kuala Lumpur. Untuk ke Zoo Negara anda boleh menggunakan Jalan Ulu Yam menuju Jalan Sg Tua melalui Lebuh Utama Sri Gombak dan Jalan Lingkaran Tengah 2. Jarak Homestay kami dari Zoo Negara lebih kurang 41.4 km, mengambil masa 52 minit perjalanan.

Kepada anda yang meminati percutian ala perancis jangan lupa mengunjungi Bukit Tinggi. Kawasan ini adalah salah satu tempat peranginan tanah tinggi di Pahang. Antara tempat - tempat pelancongan sekitar kawasan ini adalah Taman Arnab, Japanese Tea Garden , Botanical Garden, Colmar Tropicale dan tempat menunggang kuda. Tempat ini sesuai untuk pelancongan seisi keluarga. Selain dari udara nyaman, anda boleh mencuci mata melihat bangunan-bangunan yang cantik direka  berkonsepkan colonial. Jarak bukit tinggi dari homestay kami lebih kurang 47.5 km, mengambil masa 59 minit perjalanan.

Selain dari tempat pelancongan yang disenaraikan diatas anda juga boleh beriadah sambil bersukan. Jika anda suka bermain golf, anda boleh mengunjungi Kuala Kubu Golf & Country Club  atau  Serendah Golf Club. Untuk ke Kuala Kubu Golf & Country Club anda perlu menuju  jalan ke Kuala Kubu Bharu. Jarak tempat ini dari homestay kami 16 km,  mengambil masa perjalanan 20 minit. Manakala untuk Serendah Golf Club anda perlu menuju jalan ke Rawang. Perjalanan ke Serendah Golf Club dari homestay kami hanya 17 minit  dengan jarak 15.8 km.